Perjuangan belum selesai....: Artikel Review Pembangunan dan Penilaian berasaskan Web - ICT

Saturday, September 25, 2010

Artikel Review Pembangunan dan Penilaian berasaskan Web - ICT


Ulasan Jurnal
Pembangunan dan Penilaian Bahan Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Web – Webquest bagi mata pelajaran ICT.
Pendahuluan
Dalam sistem pendidikan kini, pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan web adalah konsep yang mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communication Technology (ICT). Konsep web atau webquest adalah salah satu penyelesaian bagi mengakses maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi individu seseorang pelajar dan pendidik. Kertas kerja ini cuba menyingkap bagaimana bahan pengajaran berasaskan web, Web Quest membantu para pelajar meningkatkan pencapaian mereka. Selaras dengan hasrat kerajaan yang mahukan guru mengintegrasikan ICT dalam proses p&p, disamping penglibatan yang aktif dari pelajar. Melalui web pelajar bukan sahaja dapat mengakses maklumat, namun mereka juga akan terlibat secara menyeluruh pada bila-bila masa tidak kira tempat, ianya merangkumi perbincangan secara maya, penstrukturan pengetahuan serta mengaplikasikan pembelajaran secara akses kendiri seterusnya menghasilkan pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif.
Menurut Norazah (2006), p&p berasaskan web yang bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada para pendidik menguruskan bahan pengajaran, menghasilkan persekitaran pembelajaran yang efektif, serta melibatkan penyertaan aktif di kalangan pelajar dalam proses p&p adalah sangat sesuai dijadikan kaedah alternatif dalam proses pengajaran ICT. Kertas kerja ini melaporkan secara khususnya, dua perkara utama iaitu aktiviti:
a.        Membangunkan suatu bahan pengajaran berasaskan web, Web Quest bagi mata pelajaran ICT Tingkatan Empat.
b.       Menilai persepsi pelajar terhadap bahan pengajaran berasaskan Web-Web Quest yang bertajuk Computer System: System Concept dari aspek: antara muka Web Quest, isi kandungan Web Quest dan struktur p&p Web Quest.

Kandungan/Tutorial
Pengajaran dan pembelajaran berasaskan Web.
Tujuan utama kajian ini ialah untuk melihat sejauh mana p&p berasaskan web dapat memberikan manfaat kepada para pendidik menguruskan pembelajaran dan pengajaran yang efektif, serta menghasilkan persekitaran yang kondusif dan efektif, tidak ketinggalan pelajar juga dihara dapat melibatkan diri secara aktif.
Selain itu proses pengintegrasian p&p menggunakan web juga melibatkan komponen berikut, iaitu pengintegrasian web pada masa yang sesuai, pemerolehan sumber web yang bermakna, polisi sekolah yang mewajibkan penggunaan web, dalam pengitegrasian kurikulum serta reka bentuk laman web terbaik. Aktiviti pembelajaran yang dirancang secara berkesan dengan menggunakan web akan mewujudkan unsur kolaboratif dan koperatif dengan melihat keperluan dan pengalaman pelajar semasa membina dan menerbitkan web. Chang (2001) dan Jung (2002) juga berpendapat pembelajaran web memberikan keseronokan dan semangat kolaboratif terhadap kepuasan pembelajaran pelajar. Di samping itu ianya juga mewujudkan interaksi akademik antara pelajar dan pelbagai sumber atas talian. Pelajar dilihat dapat menyelesaikan sesuatu masalah dalam topik-topik tertentu melalui perbincangan dan perkongsian idea dan bahan.  Guru juga menyesuaikan strategi untuk memperkembangkan kerjasama antara pelajar sekaligus mewujudkan interaksi sosial. Sikap positif yang diterima daripada pelajar memberikan impak yang sangat besar dalam meluaskan pengetahuan dengan keupayaan mereka mempelajari kemahiran literasi maklumat menggunakan internet, serta mereka bentuk laman web bagi mempersembahkan projek mereka. Bukan itu sahaja dari kajian Law et al (2002) menyatakan para pelajar juga berupaya untuk berfikir secara kritis, belajar dari pelbagai sumber, serta berupaya belajar dari komuniti mereka dengan saling hormat-menghormati idea di antara satu sama lain.
Pengajaran dan pembelajaran berasaskan Web-Web Quest
Kajian ini menekankan penggunaan Web Quest dan Projek Inkuiri Web yang dapat memajukan kemahiran penyelesaian masalah dikalangan pelajar. Pendekatan model web quest yang direka bentuk oleh Dodge (1995) adalah salah satu model mengintegrasikan penggunaan web dalam aktiviti bilik darjah. Web Quest merupakan aktiviti inkuiri yang mengarahkan sebahagian atau kesemua maklumat yang diperoleh daripada internet oleh pelajar. Pada asasnya,. Model Web Quest ini  berfungsi sebagai rangka kerja yang boleh digunakan oleh guru untuk pembinaan bahan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dengan menggunakan internet. Web Quest mempunyai enam komponen iaitu
i)              Pengenalan - melancarkan latar belakang dan cabaran sesuatu masalah autentik, dengan memaparkan maklumat menarik
ii)             Tugasan - penerangan umum tentang tugasan yang diberikan
iii)           Maklumat - satu set halaman web di mana pelajar boleh meneroka untuk memperoleh maklumat dalam melengkapkan tugasan mereka
iv)           Proses - penerangan langkah demi langkah yang perlu diikuti oleh para pelajar dalam melengkapkan tugasan mereka
v)            Penilaian - menjelaskan kriteria penilaian, pada kebiasaannya penunjuk pada format digunakan untuk menilai hasil tugasan pelajar
vi)           Kesimpulan - memberikan secara menyeluruh rumusan Web Quest, mengingatkan pelajar apa yang mereka telah pelajari, dan menggalakkan mereka memperluaskan pengalaman mereka dalam bidang yang lain.
Menurut Rodriguez (2003), WebQuest  telah timbul sebagai aktiviti paling utama yang melibatkan pelajar dalam pembelajaran pendekatan konstruktivisme yang berasaskan web. WebQuest juga dikatakan dapat meningkatkan lagi komponen inkuiri ke peringkat yang lebih tinggi. Rhynard (2002) dalam kajiannya tentang Web Quest menyatakan bahawa Web Quest merupakan satu strategi pengajaran dalam abad ke-21 di mana semakin ramai pelajar dilibatkan dalam proses p&p, semakin banyak ilmu pengetahuan yang akan mereka perolehi. Penyelidikan tentang otak, media, permainan video, teknologi dan program komputer interaktif memberikan maklumat tentang bagaimana para pelajar bermotivasi untuk belajar. Di samping menimbulkan minat pelajar, ianya juga memberi peluang pada pengajar  memotivasikan pelajar dan Web Quest juga sesuai digunakan pada sebarang subjek dan topik. Hasil kajian ini juga mendapati sistem p&p berasaskan Web – Web Quest ini juga dikatakan mesra pengguna kerana ia mempunyai butang-butang kawalan yang memudahkan navigasi, serta mengaplikasikan unsur-unsur hypermedia seperti animasi, bunyi, grafik, hiperteks, dan warna yang menjadikan persembahan sistem lebih menarik dan seronok untuk dipelajari. Dalam sistem p&p berasaskan Web – Web Quest ini mempunyai beberapa keistimewaan. Contohnya untuk menimbulkan minat dan keseronokan pelajar, bahagian Pengenalan boleh mewujudkan suatu situasi yang mengarahkan pelajar menyempurnakan suatu misi. Di bahagian kesimpulan ada aktiviti minda yang memberikan  ganjaran atau peneguhan positif. Semua aplikasi yang terdapat dalam Web Quest mampu menarik minat pelajar terhadap bahan pengajaran yang dipersembahkan.
Kesimpulan
Apa yang penting dalam mengejar era teknologi maklumat dan komunikasi para guru harus memberi ruang pada para pelajar meneroka pengetahuan seiring dengan kehendak semasa. Teknologi web quest merupakan satu langkah yang dapat digunakan oleh para guru dalam menarik minat pelajar. Di samping menimbulkan keseronokan belajar dan penglibatan secara aktif dalam p&p ianya juga diharap dapat memberikan pendedahan kepada para pelajar tentang literasi komputer. Para guru tidak kira usia, pangkat atau subjek yang akan diajar perlu mempersiapkan diri dengan perubahan arus ICT agar kepelbagaian kaedah dapat digunakan bagi mempertingkatkan kemahiran profesionalisme perguruan. Kerjasama antara semua pihak sama ada secara langsung (Pentadbir Sekolah, Jabatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan) atau tidak langsung (ibu bapa, masyarakat) adalah amat diperlukan bagi membolehkan ledakan teknologi maklumat mencapai satu tahap yang membanggakan. Ini seterusnya dapat melahirkan generasi akan datang yang berilmu pengetahuan, berkemahiran serta berkebolehan dalam semua aspek. Jika semua pihak bergembleng tenaga dalam hal ini bidang pendidikan akan menjadi sesuatu yang menyeronokan untuk dipelajari dan diterokai dengan menggunakan kepelbagaian teknologi.
Rujukan
Chang, Chi-Cheng. 2001. A study on the evaluation and effectiveness analysis of web-based learning portfolio (WBLP). British Journal of Educational Technology; 32(4): 435-459.
Jung, Insung Choi & Seonghee Lim, Cheolil. 2002. Effects of Different Types of Interaction on Learning Achievement, Satisfaction and Participation in Web-Based Instruction. Source: Innovations in Education & Teaching International; 39(2): 153-163.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Conventry: Pusat Perkembangan Kurikulum. Retrieved on 2nd September 2010 from http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pakatan/conventry/eng/index.htm  
Kementerian Pendidikan Malaysia. ICT In Contact: Pusat Perkembangan Kurikulum. Retrieved on 2nd September 2010 from http://myschoolnet.ppk.kpm.my/pakatan/ictic/ict_in_contact.htm
Law. N., Y. Lee & A. Chow. 2002. Practice characteristics that lead to 21st century learning outcomes. Journal of Computer Assisted Learning. 18: 415-426 Blackwell Science Ltd.
Rhynard, M. 2002. The WebQuest as an Instructional Strategy. In C. Crawford et al. (Eds.), Proceeding of Society for Information Technology and Teacher Education International Conference 2002, hlm. 2397.
Rodriguez, S. (2003). Designing WebQuest to Promote Problem-Solving Skills. In C. Crawford et al. (Eds.), Proceedings of Society for Information Technology and Teacher Education International Conference 2003, hlm. 2164-2167.

No comments:

Post a Comment